Sunday 27 February 2011

TOKOH ISLAM (IMAM) DAN KEGIATAN MASJID


Tajuk : Tokoh  islam  (imam) dan kegiatan masjid

Disediakan untuk :
Ustaz abdul aziz bin harjin
Pensyarah ctu551

Disediakan oleh :
Siti natrah binti muhd akhir
No matrik : 2010479398
Kumpulan : bmb2ac

Pogram :
Sarjana muda pentadbiran perniagaan (kepujian) pengurusan sumber manusia

TARIKH HANTAR : 27 FEB 2011


ISI KANDUNGAN

TOKOH ISLAM (IMAM) DAN KEGIATAN MASJID

1.       Isi kandungan
2.       Pendahuluan
3.       Latar belakang tokoh
4.       Pelantikan sebagai imam
5.       Tugas-tugas imam
6.       Aktiviti-aktiviti masjid
7.       Masalah yang dihadapi
8.       Cara mengatasi dan sumbangan imam
9.       Harapan
10.      Kesimpulan
11.      Rujukan

                                        
 PENDAHULUAN
      
  Assalamualaikum….
         Alhamdulillahi rabbil a'lamin. Segala puji bagi Allah S.W.T, Tuhan Sekian Alam. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
          Allahumma salli ala muhammadin wa'ali Muhammad, kama sallayta ala ali Ibrahim, innaka hamidun majid, Allahumma barik ala muhammadin wa' ali Muhammad, kama barakta ala ali Ibrahim, innaka hamidun majid.
          Pada cuti pertengahan semester yang lalu, saya telah pulang ke kampung halaman iaitu Kampung Pengkalan Batu Lintang. Saya telah pergi untuk menemuramah seorang Imam di kampung saya bagi menyiapkan kerja kursus CTU 551 saya.
          Nama beliau ialah Haji Mokhtar bin Awang. Beliau telah menceritakan tentang latar belakang beliau, sebelum dan selepas menjadi Imam. Beliau juga turut berkongsi cerita tentang pengalaman pahit dan manis semenjak beliau menjadi Imam. Selain itu juga, beliau juga turut menceritakan tentang aktiviti yang dijalankan oleh pihak masjid.
          Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Haji Mokhtar bin Awang iaitu Imam kepada masjid Kampung Pengkalan Batu Lintang kerana sudi memberikan kerjasama kepada saya untuk saya menyiapkan kerja kursus saya ini.
          Tidak kurang juga saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih saya kepada pensyarah CTU 551 iaitu Ustaz Abdul Aziz bin Harjin. Hal ini kerana beliau telah memberikan tunjuk ajar kepada saya untuk saya siapkan kerja kursus ini.
SEKIAN, TERIMA KASIH.            


TAJUK : TOKOH ISLAM ( IMAM ) DAN KEGIATAN MASJID

                                         HAJI MOKHTAR BIN AWANG



LATAR BELAKANG TOKOH 
       
           Sebagai kerja kursus saya untuk subjek CTU551, saya telah memilih tajuk yang berkenaan dengan tokoh. Tokoh yang saya pilih ialah seorang Imam di masjid yang berdekatan dengan rumah saya iaitu Masjid Kampung Pengkalan Batu Lintang. Imam tersebut itu juga merupakan bapa saudara saya sebelah ayah. Imam tersebut bernama Hj Mokhtar b Awang. Beliau berumur 71 tahun.
          Beliau berasal dari Kampung Pengkalan Batu Lintang, Sungai Petani, Kedah.  Beliau mendapat pendidikan awal Sekolah Kebangsaan Kota, pada tahun satu hingga tahun tiga. Kemudian beliau bertukar sekolah ke Sekolah Kebangsaan Simpor, dari tahun empat hingga tahun enam. Seterusnya beliau telah melanjutkan pengajian ke Sekolah Menengah Kebangsaan Arab, Tikam Batu, Sungai Petani.
          Beliau mempunyai seorang isteri dan lima orang anak. Beliau merupakan seorang suami yang bertanggungjawab di samping bapa yang baik dan penyanyang. Buktinya, beliau berjaya mendidik anak-anak beliau sehingga berjaya. Anak pertamanya merupakan seorang lepasan siswazah UiTM Arau dalam Fakulti Pengurusan Perniagaan dan sekarang telah menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya. Anak keduanya, dahulu bekerja sebagai pegawai bank, tetapi sekarang telah melibatkan diri dalam bidang perniagaan dalam sektor perguaman dengan menjadi salah seorang daripada rakan kongsi. Anak ketiganya pula merupakan seorang pegawai di Public Bank. Anak keempatnya pula sedang mencari tempat untuk meneruskan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD). Manakala anak bongsunya, dahulu belajar di Institusi Petronas di Terengganu, dan sekarang bekerja sebagai Juruteknik di ioi di Pulau Pinang.
Selain memegang tugas sebagai imam, beliau juga turut bekerja sebagai petani kecil-kecilan di kebun miliknya. Walaupun, kerjaya imam bukanlah kerjaya idaman, beliau menerimanya dengan hati yang terbuka dan berjanji akan menjalankan tugas dengan baik.



PELANTIKAN BELIAU SEBAGAI IMAM

        Beliau telah bergiat secara aktif dalam aktiviti masjid sejak dari zaman remaja lagi. Pada usia remajanya, beliau telah pun memegang jawatan sebagai ahli jawatankuasa masjid. Oleh itu, beliau mempunyai banyak pengalaman tentang aktiviti yang berkaitan dengan masjid. Selepas seberapa lama menjadi ahli jawatankuasa masjid, beliau telah dilantik menjadi bilal di masjid sejak tahun 1996 sehingga tahun 2008.
       Sebelum ahli jawatankuasa melantik beliau untuk menjadi Imam di masjid, ahli jawatankuasa telah melantik orang lain sebagai imam. Akan tetapi, imam tersebut merupakan imam baru dan masih lagi muda serta tidak mempunyai pengalaman yang berkenaan dengan masjid. Tambahan lagi, pada ketika beliau dilantik untuk menjadi imam, imam tersebut masih mempunyai pekerjaan tetap yang perlu dilaksanakan. Dengan ini, di atas persetujuan daripada imam baru itu dan cadangan daripada ahli jawatankuasa masjid telah sebulat suara untuk melantik Hj. Mokhtar bin Awang untuk menjadi imam masjid bagi menggantikan imam baru tersebut.
         Beliau dipilih dalam kalangan ahli jawatankuasa masjid disebabkan oleh pengalaman beliau dalam menguruskan masjid. Beliau juga dipilih kerana sifat dedikasi baliau semasa menjalankan tugas yang diberikan kepadanya. Selain itu, ahli jawatankuasa telah memberikan sepenuh kepercayaan mereka kepadanya. Di samping itu, beliau juga merupakan anak jati kampung pengkalan batu lintang.
         Setelah itu, beliau dilantik dengan rasminya menjadi imam pada tahun 2009 sehinggalah sekarang. Setakat ini beliau telah berjaya menjalankan tugas dengan baik.


TUGAS-TUGAS BELIAU SEBAGAI IMAM

          Antara tugas Imam ialah menjadi imam kepada jemaah pada setiap waktu solat. Namun begitu, Hj. Mokhtar tidak menjadi imam setiap waktu solat kerana beliau ingin memberi peluang kepada orang lain juga untuk menjadi imam di samping itu, dapat juga mencungkil bakat- bakat baru untuk menjadi imam.
         Selain itu, beliau juga akan membaca khutubah ketika solat jumaat. Ketika beliau menyampaikan khutubah, beliau turut menyelitkan isu-isu terkini yang dapat dijadikan teladan serta pengajaran kepada setiap jemaah.
         Beliau juga turut menjalankan bancian kepada qariahnya yang berumur 15 tahun ke atas yang wajib hadir pada solat jumaat. Bancian ini dilakukan bagi mengetahui jumlah jemaah yang akan hadir pada solat jumaat. Data bancian ini disimpan oleh Imam masjid. Beliau menjalankan bancian ini bersama-sama dengan ahli jawatankuasanya yang lain.
         Setelah beliau dilantik menjadi Imam, sudah menjadi tanggungjawab beliau untuk mempengerusikan segala aktiviti yang dijalankan di Masjid Pengkalan Batu Lintang.
         Beliau turut dibantu oleh sebelas orang ahli jawatankuasa masjid yang lain. Ahli jawatankuasa rasmi yang dilantik dengan persetujuan ahli mesyuarat yang hadir ketika Mesyuarat Agong Masjid pada tahun ini adalah seramai 6 orang. Antaranya terdiri daripada jawatan seorang Imam, 2 orang Bilal, 3 orang Siak. Ahli jawatankuasa rasmi merupakan ahli jawatankuasa tetap masjid selama tidak ada pembubaran jawatan. Selain itu, ahli jawatankuasa masjid juga terdiri daripada 5 orang pegawai khas. Antara jawatan pegawai khas ialah pengerusi, setiausaha, bendahari serta 2 orang ahli jawatankuasa kecil. Jawatan pegawai khas ini akan ditukar setiap tahun.
       
          Namun begitu, Imam hanya menjadi pengerusi untuk sebarang aktiviti tetapi yang menguruskan kelancaran aktiviti yang dijalankan ialah Bilal. Bilal juga merupakan di antara orang penting dalam ahli jawatankuasa masjid selain daripada Imam. Tugas Imam hanyalah memantau sahaja aktiviti yang dijalankan supaya aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan baik dan lancar.
         Ahli jawatankuasa rasmi ini hanya memainkan peranan untuk aktiviti dalaman masjid sahaja. Sebagai contohnya, ceramah, menjaga kelengkapan dan kebersihan masjid. Manakala, aktiviti luaran seperti gotong- royong, hari kebesaran agama, dan lain-lain lagi ditugaskan kepada pegawai-pegawai masjid iaitu seramai 5 orang.
         Selain itu, sebagai pengerusi masjid, beliau ditugaskan untuk menghadiri majlis-majlis bagi mewakili masjid Pengkalan Batu Lintang. Biasanya, Imam akan menghadiri mesyuarat dengan pegawai-pegawai daerah bersama-sama dengan Imam masjid yang lain dari daerah yang sama. Mesyuarat ini bertujuan untuk menyuarakan tentang masalah yang dihadapi di setiap masjid di daerah tersebut.



 AKTIVITI-AKTIVITI MASJID

          Banyak aktiviti yang telah dijalankan oleh ahli jawatankuasa masjid kampung pengkalan batu lintang semasa di bawah pengelolaan Hj. Mokhtar Bin Awang. Aktiviti yang dijalankan terbahagi kepada 2 bahagian iaitu aktiviti bulanan, termasuk aktiviti harian ataupun mingguan dan aktiviti tahunan.
          Antara aktiviti bulanan dan harian serta minguan yang dijalankan ialah meraikan hari kebesaran agama kita seperti maulud nabi, awal muharram dan sebagainya.  Semasa hari kebesaran agama tersebut, pihak masjid telahpun mengadakan ceramah agama yang berkaitan dengan perayaan tersebut.
          Selain itu, ceramah – ceramah agama juga telah diadakan sebulan sekali. Aktiviti ceramah ini mendapat sambutan yang baik daripada penduduk kampung. Selain Imam masjid sendiri yang memberi ceramah, pihak masjid juga telah menjemput beberapa orang guru agama daripada luar untuk memberikan ceramah kepada hadirin. Guru-guru agama tersebut dari Merbok, Sungai Muda, Kuala Muda dan Imam masjid Bukit Kecil. Hal ini dapat menarik minat qariah untuk menghadiri majlis ilmu tersebut. Baru-baru ini juga, pihak masjid telah menambah seorang lagi Guru agama untuk memeriahkan lagi majlis ilmu yang dijalankan. Guru agama tersebut daripada Balai Islam Lama di Sik, Kedah. Guru agama yang baru ini akan datang ke masjid untuk memberi ceramah serta tunjuk ajar kepada qariah sebulan sekali. Meskipun begitu, pihak masjid amat berbesar hati dengan kesudian beliau untuk menerima emputan daripada pihak masjid.
         Bukan sahaja ceramah diadakan semasa hari kebesaran agama tetapi pihak masjid juga turut mengadakan kuliah maghrib pada setiap hari selepas solat isyak. Kuliah ini juga turut menjemput ustaz luar untuk memberikan kuliahnya ataupun ceramahnya. Kuliah ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dari ahli jemaah termasuk anak muda juga turut menghadirinya.
          Semasa ceramah diadakan, ahli jawatankuasa masjid juga telah melancarkan tabung sumbangan daripada hadirin untuk memberi sedekah ikhlas. Tabung ini digunakan untuk proses membaik pulih masjid yang sedia ada sekarang ini di samping membeli keperluan yang tidak mencukupi. Sebagai contahnya, surah-surah yasiin, al- quran, sejadah dan sebagainya.
           Di samping itu, pihak masjid juga mengadakan gotong-royong pada hari minggu iaitu hari ahad ataupun sabtu sebanyak 2 minggu sekali. Aktiviti ini ditumpukan kepada sesetengah tempat secara amnya iaitu tandas, kolah tempat ambil air sembahyang dan di sekitar kawasan masjid serta kawasan kubur.
           Tempat seperti tandas diberi tumpuan kerana tandas di masjid selalu kotor. Hal ini kerana, ada sebuah tadika yang berada dalam satu kawasan dengan masjid. Oleh itu, tandas masjid selalu kotor disebabkan oleh kanak-kanak tadika tersebut. Jadi, pihak tadika dan pihak masjid telah mempersetujui untuk menjalankan aktiviti gotong-royong secara bersama-sama bagi membersihkan kawasan setempat.
         Begitu juga dengan kolah tempat ambli air sembahyang. Tempat itu selalu kotor kerana sering digunakan dan berada di luar masjid. Lagipun, kolah biasanya akan kotor dengan tahi cicak dan binatang-binatang kecil yang jatuh di dalamnya. Selain itu, dilakukan juga aktiviti pembersihan di kawasan tanah perkuburan seperti membuang rumput-rumput dan mengecat batu nisan dengan warna putih.
          Baru-baru ini juga, Haji Mokhtar telah mengupah penduduk kampung yang tidak mempunyai kerja untuk membersihkan kawasan tanah perkuburan tersebut. Dengan ini, kita dapat lihat kawasan tanah perkuburan lebih terurus dari sebelum ini.
          Antara aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh pihak Masjid Kampung Pengkalan Batu Lintang ialah semasa menyambut perayaan Hari raya Aidiladha, bulan Ramadhan dan perayaan Hari raya Aidilfitri.
            Aktiviti tahunan yang dijalankan ini biasanya di antara aktiviti besar. Ianya melibatkan kos yang banyak dan akan melibatkan penglibatan dari seluruh qariah dalam satu-satu masa.
             Sebagai contohnya, semasa bulan Ramadhan, pelbagai aktiviti yang dijalankan bagi meraikan bulan yang dimuliakan dari segala bulan dalam kalander Islam. Pada bulan Ramadhan, pihak masjid akan mengadakan solat tarawih pada tiap- tiap hari dalam bulan tersebut.
             Selain itu, pihak masjid juga akan selalu mengadakan ceramah-ceramah Agama di masjid. Pihak masjid iaitu Imam turut menjemput guru agama dari luar untuk menjadi Imam pada solat tarawih. Guru Agama tersebut dijemput untuk menjadi Imam selama beberapa hari dalam bulan Ramadhan. Selain menjadi Imam, guru agama tersebut juga turut memberi ceramah tentang tajuk yang berkaitan dengan  isu- isu agama.
             Di samping itu, pihak masjid mengadakan acara membuat bubur lambuk pada setiap hari dalam bulan Ramadhan untuk diagihkan kepada penduduk kampung. Aktiviti membuat bubur lambuk ini diadakan beramai-ramai secara bergilir-gilir antara penduduk kampung.     
              Di sepanjang bulan Ramadhan juga, pihak masjid membuka kaunter pembayaran zakat fitrah. Imam masjid telah memberikan tugas khas ini kepada beberapa ahli jawatankuasa masjid untuk menguruskannya dan diketuai olah bendahari masjid. Kaunter ini diberikan had kuasa beroperasi serta ada masa-masa operasinya. Selain itu, pihak masjid juga turut menyumbangkan pemberian zakat fitrah kepada penduduk kampung yang tidak berkemampuan.
              Bagi menyambut perayaan Aidilfitri pula, seperti biasa iaitu solat sunat hari raya aidlifitfi, pemberian duit raya dan sebagainya. Ada juga aktiviti rumah terbuka yang diadakan di perkarangan masjid. Aktiviti ini turut menjemput wakil rakyat dan ketua daerah untuk datang ke majlis tersebut.
           Pada hari raya aidiladha juga seperti biasa iaitu solat sunat dan menziarahi kubur pada pagi hari raya tersebut. Hari raya aidiladha juga pihak masjid juga turut mengadakan pelbagai aktiviti. Antaranya ialah acara korban yang diadakan secara bergotong- royong oleh penduduk kampung. Aktiviti korban ini turut juga melibatkan golongan muda dan remaja.
          Kebiasaannya, sebanyak 2 ekor ataupun 3 ekor lembu akn dikorbankan pada hari raya korban tersebut. Adakalanya, lembu korban itu disumbangkan oleh wakil rakyat ataupun pegawai daerah dan ada juga lembu korban itu disumbangkan oleh orang kampung yang berhajat serta ada juga dari pihak masjid itu sendiri hasil daripada kutipan derma tabung masjid.
          Pada tahun lepas, Imam iaitu Haji Mokhtar turut juga menyumbangkan seekor lembu untuk aktiviti korban tersebut. Daging-daging korban itu akan diagihkan kepada penduduk kampung dalam kuantiti yang sama banyak yakni adil.
     







" TANGAN YANG MEMBERI LEBIH BAIK DARIPADA TANGAN YANG MENERIMA "

" Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan kehendak) untuk mendapat lebih banyak daripadanya"
                                                                               Ayat 6
                                                                          ( surah al-muddatsir)


 MASALAH YANG DIHADAPI
         
           Terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh Haji Mokhtar ketika beliau menjadi Imam masjid. Masalah tersebut berkaitan dengan masjid Kampung Pengkalan Batu Lintang. Antaranya ialah kawasan masjid tidak terurus terutamanya di kawasan tanah perkuburan dan kawasan persekitaran masjid khususnya di tandas.
           Tanah perkuburan di masjid tidak terurus sehinggakan banyak rumput-rumput liar yang tumbuh di situ. Adakalanya tanah perkuburan tersebut menjadi tempat persembunyian binatang-binatang berbisa seperti ular dan sebagainya. Ada di antara anak-anak si mati itu sendiri yang datang untuk membersihkan kawasan kubur arwah ketika datang menziarahi ke tanah perkuburan. Ada juga di antara mereka yang merungut tentang masalah tersebut.
           Selain itu, tanah perkuburan di masjid Kampung Pengkalan Batu Lintang juga sudah hampir penuh. Hal ini disebabkan oleh kadar kematian di kampung tersebut semakin meningkat dari hari ke hari. Oleh itu, Haji Mokhtar sedang mengikhtiarkan untuk mencari tanah yang baru untuk menampung kadar kematian yang semakin bertambah itu. Kalau dapat tanah yang berdekatan dengan masjid lagi baik.
            Masalah yang seterusnya ialah tempat letak kenderaan yang tidak mencukupi. Hal ini akan dapat dilihat dengan lebih ketara apabila tibanya hari raya aidilfitri dan aidiladha. Hal ini kerana tempat letak kenderaan akan penuh kerana kebanyakkan anak-anak orang kampung yang tinggal di perantauan akan pulang ke kampung untuk menyambut perayaan tersebut. Pada situasi yang seperti ini, kenderaan terutamanya kereta akan diletakkan di tepi jalan dengan ini ianya akan mengganggu lalulintas. Tambahan pula, jalan untuk masuk ke kampung sememangnya akan melalui jalan tersebut dan ini akan menyesakkan lagi keadaan.
           Di samping itu, ketika Haji Mokhtar menjadi Imam masjid, keadaan masjid boleh dikatakan sebagai uzur. Hal ini kerana, kubah masjid sudah berkarat dan hampir sahaja runtuh.



CARA MENGATASI DAN SUMBANGAN
        
            Bagi mengatasi masalah tanah perkuburan yang tidak terurus, Imam masjid iaitu Haji Mokhtar telah mengupah dan menyuruh orang kampung yang tidak mempunyai kerja untuk menguruskan tanah perkuburan tersebut. Terdapat juga beberapa ahli jawatankuasa masjid yang ditugaskan untuk memantau tahap kebersihan di tanah perkuburan.  Dengan ini, tanah perkuburan semakin terurus dan cantik. Orang ramai juga berpuas hati dengan perubahan tersebut.
           Baru-baru ini juga, Haji Mokhtar bersama-sama dengan Imam dari masjid yang lain telah menghadiri mesyuarat dengan pegawai daerah kuala muda. Dalam mesyuarat tersebut, beliau menyuarakan tentang masalah tanah perkuburan yang semakin penuh tersebut. Pegawai daerah memberi respons yang baik terhadap masalah yang itu. Pegawai itu juga mengatakan bahawa ia akan mengeluarkan peruntukan untuk masalah tersebut seperti memberi tanah merah dan sebagainya.
            Beliau juga telah memperbesarkan kawasan letak kenderaan di kawasan masjid. Dengan ini, kawasan masjid telah ada kawasan letak kenderaan yang sistematik. Walaupun tidaklah sebesar mana, akan tetapi ia dapat menampung bilangan kenderaan yang banyak pada hari-hari perayaan. Oleh itu, jalan tersebut tidak lagi sesak seperti dahulu.
           Kubah yang hampir runtuh juga telah digantikan dengan yang baru. Penggantian kubah masjid ini hasil daripada sumbangan yang diperuntukkan oleh pegawai daerah yakni sebanyak RM 10000. Selain daripada menggantikan kubah, beliau juga telah mengarahkan orang untuk memperbesar ruang solat masjid bagi menampung jemaah yang ramai dalam satu masa. Dengan ini masjid jadi semakin cantik dan luas. Ianya memberi keselesaan kepada jemaah yang hadir.



HARAPAN

          Sebagai Imam masjid, Haji Mokhtar mempunyai harapan yang sangat besar. Beliau berharap agar ada pelapis yang terdiri daripada golongan anak muda kampung ini. Bagi mencari golongan pelapis ini beliau menggalakkan anak-anak muda untuk menjadi Imam ketika solat fardhu. Dengan ini beliau dapat melihat ramai yang mempunyai kebolehan dan kelebihan untuk menjadi Imam. Ada juga di antara ahli jawatankuasa masjid yang mempunyai kebolehan untuk menjadi imam. Oleh itu, beliau tidak lagi risau kerana beliau tahu bahawa ada orang yang akan menggantikan beliau satu ketika nanti. Golongan muda juga tidak terkecuali daripada orang berbakat untuk menjadi Imam masjid. Mereka terdiri daripada anak-anak bekas Imam masjid yang dahulu dan anak muda yang mendapat pelajaran daripada sekolah-sekolah agama. Beliau amat bersyukur kerana ada juga anak muda kampung tersebut mempunyai ilmu yang seperti itu. Oleh itu, beliau berhasrat untuk memberi lebih peluang kepada mereka untuk melatih mereka ke arah itu serta sanggup memberikan tunjuk ajar berdasarkan pengalaman yang beliau ada kepada mereka.
  


KESIMPULAN

          Kesimpulannya, saya rasa beliau memang layak untuk memegang jawatan sebagai imam kerana tahap pengajian beliau dan pengalaman yang beliau ada sebagai ahli jawatankuasa masjid sebelum menjadi Imam. Hal ini dapat dibuktikan lagi dengan cara beliau menguruskan masjid dan menjadi ketua untuk semua qariah. Di atas sikap kepimpinan yang beliau jalankan, keadaan masjid berada dalam keadaan yang baik, selesa dan bersih. Justeru itu, semua penduduk kampung amat berpuas hati dan berterima kasih kepada beliau.



SEKIAN TERIMA KASIH. WASSALAM.



RUJUKAN


1.      PENSYARAH
   ( ABDUL AZIZ BIN HARJIN )


2.      IMAM MASJID KAMPUNG PENGKALAN BATU LINTANG
    ( HAJI MOKHTAR BIN AWANG )


3.      INTERNET
   TAJUK : HADIS – HADIS PILIHAN
   www.google.com